KUALA LUMPUR – Pemuda Barisan Nasional (BN) sudah berada dalam keadaa siap siaga untuk berdepan dengan parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) kali ini.
Timbalan Pengerusinya, Senator Khairul Azwan Harun yakin jentera Pemuda BN bersiap sedia sepenuhnya berdasarkan semangat tinggi yang ditunjukkan sayap pemuda parti dari UMNO, MIC, MCA, Gerakan dan MyPPP serta parti komponen BN.
“Momentum kita semakin meningkat dan kita perhebatkan lagi dengan kewujudan jentera JR Plus Pemuda BN di seluruh negara.
“Hari ini jentera Pemuda UMNO bersama jentera JR Plus Pemuda BN mengadakan taklimat induk membincangkan gerak kerja dan sebagainya termasuk struktur baru dan sebagainya dalam usaha memperkemaskan lagi perjalanan kita selepas ini,” katanya di sini, semalam.
Khairul Azwan yang juga Naib Pemuda UMNO Malaysia berkata, dalam pertemuan itu, semangat kedua-dua sayap cukup tinggi dan berkobar-kobar untuk sama-sama melaksanakan amanah serta arahan yang telah dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Katanya, semangat setiakawan dalam kalangan rakan komponen Pemuda BN juga cukup tinggi dan ianya sepertimana yang ditekankan oleh Khairy.
“Dengan adanya semangat itu, hubungan yang sedia terjalin lebih akrab dan memberi impak yang amat bermakna buat parti.
“Kami tidak kekok…malah sentiasa bekerjasama dan melihat hubungan baik ini dari sehari ke sehari menjadi lebih baik dan dengan semangat inklusif yang kita ada, saya yakin jentera Pemuda BN akan menjadi lebih menyeluruh dan inilah yang dikehendaki oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib,” katanya sebagaimana dilaporkan UMNO-Online. – MalaysiaGazette