GEORGE TOWN – Pemaju projek rumah mampu milik di Lengkok Permai, Tanjung Bungah di sini tidak akan dibenarkan untuk meneruskan kerja pembangunan projek itu sehinggalah Suruhanjaya Siasatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyiapkan siasatan dan dapatannya berkaitan tragedi tanah runtuh itu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata penubuhan suruhanjaya bagi menyiasat insiden malang itu akan diusahakan dan diluluskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri minggu depan.
“Suruhanjaya itu akan mengadakan siasatan bebas menyeluruh untuk mengenal pasti punca kemalangan di tempat kerja ini dan mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab.
“Saya juga akan mencadangkan supaya suruhanjaya itu diberi kuasa untuk menyiasat semua perkara sampingan berkaitan projek berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi tanah runtuh itu di sini hari ini.
Tanah runtuh itu berlaku kira-kira 8.50 pagi semalam. Sebelas orang terperangkap di dalam runtuhan dan setakat ini, tujuh mayat telah pun dijumpai manakala empat lagi belum dapat dikesan.- BERNAMA