Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Sabah sehingga tengah hari ini semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 2,368 orang.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, daerah Kota Belud mencatatkan jumlah mangsa banjir paling tinggi iaitu seramai 2,132 orang, diikuti Tuaran seramai 236 orang.

Menurut laporan dari Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), hujan makin lebat di beberapa kawasan menyebabkan lebih 100 kampung dinaiki air.

Semua mangsa kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir yang dibuka sejak semalam berikutan paras air naik secara mendadak di kawasan mereka.

Mereka berada di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said, SMK Taun Gusi 1, Dewan Masyarakat Tun Said, SMK Taun Gusi 2, Dewan Gopog Taginambut, Muhibah Tombol, Dewan SK Pekan dan Dewan SK Taun Gusi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang berada di Sabah bagi memantau keadaan berkata, pihaknya menempatkan anggota APM di beberapa kawasan dinaiki air bagi memantau keadaan banjir.

Katanya, anggota APM itu akan bertindak segera sekiranya berlaku kecemasan, termasuk menyediakan kemudahan logistik sebagai langkah segera usaha menyelamat.

Beliau turut memberi jaminan segala kemudahan akan disediakan kepada semua mangsa banjir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast