Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas sedang memantau isu dibangkitkan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) mengenai kewujudan sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS) yang dijadikan pusat sehenti kepada pengendali syarikat pakej umrah.

Menurut Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan, pemantauan itu dilakukan berikutan kegagalan kerajaan menjelaskan kedudukan IMAMS dalam struktur pemberian Lesen Khas Umrah (LKU) yang turut melibatkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).

Ujarnya, sukar untuk ditentukan dengan jelas apa fungsi dimainkan oleh IMAMS dalam pengendalian pakej umrah dengan pengenalan LKU.

Sedangkan, kata beliau, penubuhan MKSU Ogos 2014 itu sudah tepat dan komprehensif merangkumi 13 agensi utama termasuk Tabung Haji (TH), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Kepenggunaan, polis, syarikat penerbangan Malaysia, MATTA, JAWHAR dan sebagainya.

“Manakala pengenalan LKU pada Oktober lalu adalah langkah yang baik bagi menggelakkan peningkatan kes penipuan umrah.

“Ia sudah memadai dan sesuai dengan Akta Industri Pelancongan 1992 juga Peraturan Industri Pelancongan 1992 (PPIP 1992),” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Nasrudin, beliau juga tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pada 14 Ogos lalu pada persidangan Dewan Negara.

Katanya, jawapan itu hanya menyentuh mengenai MKSU dan LKU sahaja tanpa menyebut peranan IMAMS dalam menangani kes penipuan pakej umrah.

“Jadi, di mana sebenarnya kedudukan IMAMS? Itu jadi persoalan asas di sini,” tegasnya.

Beliau menyatakan, rentetan daripada persoalan itu, isu mengenai insurans dan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) termasuk dalam pakej RM90.10 yang dikenakan IMAMS itu suatu perkara tidak seharusnya berlaku.

Katanya, Peraturan 6(1A) PPIP 1992 antara lain menyebut mengenai Skim Takaful Umrah bagi jemaah ketika berhadapan dengan kes kecemasan, penyakit mahupun kematian.

Malah, kata Nasrudin, peraturan itu menyebut mengenai tidak boleh menjual pakej berkenaan kepada pengendali pelancongan lain.

“Adakah IMAMS termasuk dalam “pengendali pelancongan” yang lain? Maka, ia bertentangan dengan peraturan tadi. Tambahan pula, apakah tujuan caj tambahan RM90.10 itu dibayar sedangkan takaful para jemaah sudah dijamin?

“Ini merumitkan lagi kemelut yang melanda. Menyelesaikan suatu perkara dengan cara mengetatkan undang-undang atau peraturan seperti pemberian lesen yang lebih ketat dan sebagainya adalah satu tindakan yang sepatutnya, tetapi bukan sampai peraturan yang dicipta itu menyusahkan dan membebankan pihak lain,” ujar beliau.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast