SHAH ALAM – Sebuah asrama penginapan pelajar Akademi Tahfiz Ihya Ul-Quran, Kampung Bukit Lanchong, di sini musnah kira-kira 20 peratus dalam insiden kebakaran malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada 8.30 malam dan dua jentera bersama 14 anggota digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata, bagaimanapun tiada mangsa cedera dalam kebakaran asrama berkeluasan 90 kaki persegi yang terletak di tingkat dua bangunan tiga tingkat itu.
Katanya, api yang membakar beberapa tilam serta katil pelajar berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian namun punca kejadian masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, mudir akademi tersebut Mohd Khairul Ni’mat Doll Kawaid, 33, ketika ditemui pemberita di lokasi memberitahu api dilihat marak sekitar 8.15 malam sebelum mengarahkan 17 pelajar berumur sembilan hingga 17 tahun yang sedang mengaji di tingkat bawah meninggalkan bangunan tersebut.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan punca kebakaran dipercayai akibat sisa bara ubat nyamuk yang dipasang di dalam asrama itu.
“Akademi ini pernah dilawati bomba, polis dan pihak berkuasa tempatan sebelum ini dan kita sedang menaik taraf secara berperingkat beberapa keperluan yang disarankan agensi terlibat demi keselamatan pelajar.”
“Malah kita juga akan cuba mewujudkan skuad bomba tahfiz pada masa depan untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada pelajar dan guru untuk mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku sebarang insiden atau kecemasan yang tidak diduga,” kata Mohd Khairul Ni’mat. – MalaysiaGazette