Melaka antara destinasi popular rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR – Negara-negara Asia Pasifik (APAC) adalah jiran terdekat tetapi penduduknya mempunyai pandangan berbeza dalam memilih percutian mereka.

Kajian Pengembaraan dan Teknologi Global yang dilakukan oleh Agoda menunjukkan pengembara Singapura secara purata melakukan 3:1 perjalanan antarabangsa dalam tempoh 12 bulan lalu menjadikan mereka paling cenderung bercuti ke luar negara berbanding warga Malaysia, Filipina, Australia, Indonesia dan Thailand, masing-masing 1.1 dan 1.7.

Tetapi untuk pengembaraan domestik, warga Thailand dan Filipina paling ‘terpikat’ dengan tanah air sendiri, masing-masing dengan purata 5.1 dan 4.4 dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Indonesia dan Malaysia berada di belakang dengan purata 3.9 dan 3.4 perjalanan manakala Australia dan Singapura pula 2.7 dan 1.1 dalam tempoh yang sama.

Negara yang paling banyak menerima pelancong dalam rantau APAC adalah Thailand dengan purata pengembaraan 6.8 termasuk 5.1 bagi perjalanan dalam negara dan 1.7 luar negara.

Dengan industri pelancongan Thailand yang menyerlah, ia bukan mengejutkan bagi warga Thailand untuk memilih meneroka negara sendiri.

Kajian itu mencadangkan penduduk Filipina paling cenderung untuk meneroka negara mereka sendiri kerana negara itu memiliki pantai dan pemandangan indah yang ditawarkan.

Tiga destinasi utama bagi penduduk Filipina ialah Manila, Cebu dan Pulau Boracay.

Bagi Malaysia pula, didapati jumlah pengembaraan bagi domestik dan antarabangsa oleh rakyat Malaysia adalah tinggi dipacu oleh pertumbuhan pendapatan boleh guna yang mahu berbelanja lebih untuk rekreasi dan budaya.

Rakyat Malaysia juga suka mengembara di negara sendiri. Terdapat 10 dest‌inasi popular rakyat Malaysia dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka berada pada kedudukan teratas.

Warga Singapura yang terkenal kerana suka menikmati makanan dan beli-belah, gemar melancong ke luar negara kerana kedudukannya di tengah-tengah rantau memberi kelebihan.

Penduduk negara ini juga mencalonkan Bangkok, Thailand, Johor Bahru, Malaysia dan Pulau Batam sebagai destinasi pilihan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast