Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

PEKAN – Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini bertitah supaya kerajaan dapat mencari penyelesaian berkesan dalam membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.

Baginda bertitah masalah berkaitan ekonomi dan kos sara hidup merupakan permasalahan yang sering diutarakan rakyat kepadanya semasa lawatan ke daerah dalam melaksanakan tugas sebagai pemangku raja Pahang.

“Tumpuan harus diberikan untuk meningkatkan ekonomi rakyat ke tahap yang lebih baik dan pendekatan lebih berkesan perlu dilaksanakan dalam hal seperti kebajikan, pendidikan, perumahan dan kemudahan asas yang lain.”

“Aktiviti ekonomi juga perlu dilakukan secara adil dan saksama dalam kepelbagaian kaum dan bangsa di negara ini untuk merapatkan jurang ekonomi,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Turut hadir Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan pada istiadat itu, seramai 100 individu dianugerahkan darjah kebesaran Pahang.

Tengku Abdullah juga mengingatkan kepentingan untuk hidup secara harmoni dalam kepelbagaian kaum dan memulihara alam sekitar kerana pencemaran yang berlaku akan membawa kemudaratan.

Baginda dalam titahnya juga menzahirkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan negeri Pahang bawah Adnan kerana melaksanakan pentadbiran yang baik.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada anggota keselamatan di negara ini yang menjaga keselamatan dan keamanan demi keselesaan rakyat. Tanpa pengorbanan mereka, sudah pasti kita tidak dapat hidup dengan tenang,” titah baginda.

Tengku Abdullah seterusnya berjanji akan melaksanakan amanah sebagai Pemangku Raja Pahang dengan sebaik mungkin dan seikhlas hati seperti yang dipertanggungjawabkan oleh ayahandanya.

“Saya juga merakamkan terima kasih kepada semua anggota keluarga kerana memainkan peranan dengan berada di sisi ayahanda saya. Ini adalah satu amalan yang cukup murni dan saya berdoa semoga kita memperoleh balasan yang baik,\” katanya.

Sementara itu, Adnan dalam ucapan sembah ikrar taat setia menasihatkan mereka yang menerima darjah kebesaran daripada Sultan Pahang tahun ini untuk bersyukur dan menjaga nama baik mereka setiap masa.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast