Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membentangkan RUU355 untuk memperkukuhkan perundangan Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 06 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Sejak Mei tahun lalu, Rang Undang-undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 atau Akta 355 yang dibawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengisi aturan mesyuarat Dewan Rakyat, namun sehingga hari ini masih belum ditemukan penyudahannya.

Hari kedua sidang Dewan Rakyat penggal kelima, usul persendirian Hadi masih belum diterima UMNO untuk dibahaskan yang jelas menimbulkan tanda tanya samada usul berkenaan akan mengambil tempat untuk dibahaskan atau tidak.

Ia kerana selepas Jumaat depan, sidang Dewan Rakyat akan mulai sibuk dengan perbentangan Bajet 2018 yang akan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada jam 3 petang.

Maka impian Pas untuk melihat pindaan RUU355 dibahaskan mungkin terhenti di situ sahaja ekoran perbahasan wajib Bajet 2018.

Ini kerana kedua-dua pihak sama ada daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang akan bertindak membahaskan bajet berkenaan.

Diaatas kertas, usul daripada Ahli Parlimen Marang itu kini menduduki tempat keenam dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Berdasarkan itu, RUU355 perlu mengatasi rang undang-undang kerajaan yang lain antaranya, Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pindaan 2017) untuk bacaan kali kedua dan Rang Undang-undang Perbadanan Harta Intelek (Pindaan 2017).

Tiga lagi adalah Rang Undang-undang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Pindaan) 2017, Rang Undang-Undang Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017 dan Rang Undang-Undang Pusat Jagaan (Pindaan) 2017.

Telahan penulis, agak mustahil untuk usul berkenaan mengambil tempat kerana masih terdapat lima lagi usul kerajaan yang jelas akan diutamakan oleh pihak kerajaan.

Apapun, Pas bertegas mereka sudah menjalankan tugas sebagai parti berteraskan Islam untuk menegakkan syiar Islam berlandaskan kepada agama rasmi negara ini, yakni Islam.

Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad sebelum ini berkata, sama ada dibahaskan atau tiada, parti itu sudah pun menjalankan tanggungjawab untuk mengemukakan pindaan berkenaan.

Soal sama ada ia akan diluluskan atau tidak, bergantung kepada keputusan undian 222 ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat untuk membuat keputusan khususnya yang beragama Islam.

“Lulus atau tidak, itu cerita lain. Yang penting kita (Pas) sudah jalankan tanggungjawab kita sebagai parti Islam untuk bentang,” katanya.

Desakan demi desakan terus diberikan Pas bagi kerajaan memberikan ruang kepada RUU355 mengambil tempat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tidak wajar untuk perbahasan pindaan RUU355 dihentikan begitu sahaja tanpa sebarang alasan yang kukuh.

“Ini umpama kes mahkamah yang telah lama bermula, perbicaraan tidak akan dihentikan sehinggalah ia berakhir dengan keputusan oleh hakim, bezanya Parlimen akan tentukan melalui pengundian 222 Ahli Parlimen,” katanya.

Pada hari terakhir sidang pada Ogos lalu, pindaan RUU355 ditangguh buat kali kedua kerana kekangan masa memandangkan keutamaan diberikan kepada usul-usul daripada kerajaan.

Untuk rekod, RUU355 pernah disemak semula untuk dibentangkan pada November tahun lalu oleh Abdul Hadi.

Pindaan hanya untuk menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding hanya maksimum hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah ketika ini. -MalaysiaGazette.