Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Pelaburan tertinggi yang disalurkan kepada negeri-negeri pembangkang seperti Pulau Pinang terutama dalam sektor pembuatan bernilai RM7.7 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini membuktikan kerajaan persekutuan tidak mengabaikan negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, selain Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP, kerajaan persekutuan turut menyalurkan pembangunan dan pembinaan infrastruktur seperti MR, LRT dan lebuhraya di negeri Selangor yang juga ditadbir oleh pembangkang, PKR.

Dalam kenyataannya hari ini, Rahman menegaskan, langkah tersebut sebagai usaha mempromosi dan menarik pelaburan ke dalam negara ini.

“Walaupun pelbagai tuduhan palsu dibuat oleh pembangkang seperti Malaysia bukan lagi negara pilihan pelabur, pelabur asing meninggalkan Malaysia dan Malaysia adalah sebuah negara yang gagal, tetapi petunjuk data menunjukkan sebaliknya.

“Aliran masuk bersih pelaburan langsung asing ke dalam Malaysia telah meningkat daripada RM23.9 billion (2008) kepada RM47.2 billion (2016) dan sejak 2014 pelaburan langsung asing meningkat secara konsisten walaupun Malaysia berhadapan dengan ketidaktentuan daripada luar seperti kejatuhan harga komoditi dan pasaran kewangan global yang tidak menentu.”

Justeru, tambahnya, meskipun pihak pembangkang giat menyebarkan propaganda palsu demi kepentingan politik mereka, Selangor dan Pulau Pinang tetap menikmati pertumbuhan ekonomi, pembangunan, kemakmuran dan kestabilan yang telah dibawa kerajaan persekutuan.

Katanya, modus operandi pembangkang adalah mengambil kredit bagi semua pencapaian positif di negeri mereka, sebaliknya menyalahkan kerajaan persekutuan apabila timbul apa-apa berita negatif tentang negara kita.-MalaysiaGazette

Comments are closed.