Qatar
UAE, Arab Saudi, Bahrain dan Mesir melaksanakan boikot terhadap Qatar pada 2017 dengan memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan ke atas negara kecil yang kaya itu apabila mendakwa ia menyokong keganasan.

DOHA – Qatar memperkenalkan upah minimum dalam mempelbagaikan pembaharuan undang-undang buruh di negara itu.

Pengumuman itu dibuat sebelum berlangsung mesyuarat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), yang memberi amaran kepada Qatar untuk menamatkan penyalahgunaan pekerja asing.

Konfederasi Kesatuan Perdagangan Antarabangsa (ICTU) mengalu-alukan langkah itu.

Setiausaha Agung ICTU, Sharan Burrow berkata, perubahan itu menandakan permulaan “pembaharuan sebenar” dan akan menamatkan penggunaan perhambaan moden.

ILO telah memberikan Qatar tarikh akhir bulan November untuk menunjukkan kemajuan pada hak pekerja asing, dan dapat membuka penyelidikan formal yang jarang berlaku.

Badan pentadbirannya bertemu dalam sesi pleno antara 26 Oktober dan 9 November.

Qatar telah lama mengguna pakai sebuah sistem yang dipanggil “kafala”, skim penajaan kerja yang ketat, memaksa pekerja asing mendapat kebenaran daripada majikan mereka untuk menukar pekerjaan atau meninggalkan negara ini.

Sistem itu menimbulkan keraguan dalam kalangan kumpulan hak asasi Amnesty International dan lain-lain.

ITUC berkata pembaharuan yang dipersetujui terkini termasuk gaji minimum kepada semua pekerja tanpa mengira kaum, majikan tidak boleh menahan pekerja-pekerja meninggalkan Qatar, identifikasi dokumen-dokumen akan dikeluarkan oleh negara, bukan lagi syarikat-syarikat.

Selain itu, pihak berkuasa akan menilai kontrak-kontrak pekerja bagi mengelakkan perubahan terma.

Bagaimanapun, belum jelas bila perubahan cadangan itu akan dikuatkuasakan.

Dianggarkan sejumlah 1.5 hingga 2 juta pekerja asing di Qatar, kebanyakannya bekerja dalam industri pembinaan dan dari negara-negara Asia.

Dalam laporan ITUC pada 2013, sekurang-kurangnya 1,200 pekerja asing mati dalam projek pembinaan Piala Dunia 2022. – MalaysiaGazette