Mahdzir Khalid.
Mahdzir Khalid.

KUALA LUMPUR – Program UMNO dalam sebuah sekolah di Putrajaya tidak mempunyai unsur politik, jelas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir menegaskan program yang dijalankan di SK Putrajaya Presint 14(1) adalah bertemakan kemerdekaan dan bukan bermotifkan politik seperti yang didakwa oleh pemimpin pembangkang.

“Program yang dijalankan di SK Putrajaya Presint 14(1) merupakan program pertandingan anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang bertemakan kemerdekaan dan bukan berunsur politik,” katanya membalas jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh).

Ujarnya, program 3 Oktober itu diadakan untuk melahirkan generasi yang peka tentang sejarah perjuangan kemerdekaan.

Tambah beliau, kementerian memastikan semua kakitangan perkhidmatan pendidikan memberi taat setia kepada raja, negara dan kerajaan pemerintah sebagaimana tercatat dalam Peraturan 4 (1) Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau juga menambah, menurut satu pekeliling, semua kakitangan perkhidmatan pendidikan dilarang terlibat dalam aktiviti anti-kerajaan.

Kontroversi tercetus selepas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghadiri program di sekolah tersebut yang dihiasi dengan bendera UMNO dan lagu parti juga didendangkan. – MalaysiaGazette

Comments are closed.