Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Setelah menerima tekanan akhirnya Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi penjelasan mengenai kenyataannya berhubung orang Bugis sebagai lanun.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, apa yang dikatakannya itu hanya dituju kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sahaja bukannya kepada komuniti Bugis di negara ini.

“Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa ia adalah pahlawan Bugis.

“Pahlawan Bugis tidak mencuri. Najib pencuri besar dan dikenali sebagai penyamun oleh seluruh dunia,” katanya menerusi tulisan terbaru di laman blog chedet.cc hari ini.

Sebelum ini, Mahathir menerima kritikan dan bantahan terutama daripada persatuan berkaitan kaum Bugis ekoran kenyataannya semasa Himpunan Selamatkan Malaysia, Bantah Kleptrokasi di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mahathir turut mempersoalkan apakah orang Bugis boleh menyambut baik seorang pemimpin yang didakwanya sebagai penyamun untuk digelar sebagai seorang pahlawan Bugis.

Katanya, di Malaysia ada raja yang berketurunan Bugis dan ada Melayu yang berketurunan lanun. – MalaysiaGazette