Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip RM12.13 bilion bayaran balik pinjaman sehingga September tahun ini.

Pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jumlah kutipan itu diperolehi hasil usaha yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan peminjam untuk membayar pinjaman mereka.

“Kelompok ini (yang liat membuat pembayaran) akan menjadi sasaran pihak kami (PTPTN) supaya mereka (peminjam) membayar balik pinjaman kerana kita perlukan wang itu untuk membantu pelajar-pelajar baharu akan datang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kutipan balik pinjaman itu akan mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada institusi kewangan lain dalam usaha memberi dana kepada pelajar baharu di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta di negara ini.

Sehingga kini PTPTN telah memberi pinjaman kepada lebih dua juta pelajar di seluruh negara termasuk yang masih mengikuti pengajian tinggi.

Shamsul Anuar berharap melalui pelbagai insentif yang diperkenalkan kerajaan dalam Bajet 2017, peminjam masih berpeluang untuk menjelaskan pinjaman mereka hingga 31 Dis ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 pada 21 Okt tahun lalu mengumumkan kerajaan bersetuju memberi insentif diskaun berkuat kuasa 22 Okt hingga akhir tahun ini bagi menggalakkan bayaran balik pinjaman.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast