Beberapa orang pengunjung kelihatan kusyuk menonton pengumuman bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di salah sebuah kedai elektrik di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Pembentangan bajet inklusif yang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen petang tadi disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat.

Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette menyifatkan, bajet pada kali ini mendepani rakyat apabila sejumlah besar peruntukan termasuk beberapa perkara yang tidak diduga menjadi intipati yang terkandung untuk dipersembahkan kepada rakyat sebagai hadiah.

Seorang kakitangan swasta, Siti Nurul Asiqin Mohamud, 31, berkata, langkah kerajaan yang mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak dua mata peratusan merupakan satu perkara yang sangat baik.

Siti Nurul Asiqin Mohamed

Ini kerana katanya, langkah itu boleh mengurangkan tekanan kepada rakyat khususnya mereka yang berada di bandar dan terbeban dengan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

“Memang wajar cukai pendapatan ini dikurangkan dan saya rasa ramai yang menyetujuinya.

“Lagipun bagi orang seperti saya, ia memang perlu sangat perlu,” katanya.

Anggota polis, Mohd Farhan Abdullah, 26, pula berkata, kerajaan sememangnya prihatin terhadap penjawat awam apabila mengumumkan unit perumahan penjawat awam 1Malaysia-PDRM yang dijual dengan mengikut tangga gaji anngota polis.

Katanya, dia sangat bersyukur kerana meskipun berpangkat rendah dalam pasukan keselamatan hasratnya untuk memiliki rumah sendiri mungkin cerah.

Mohd Farhan Abdullah

“Saya sendiri belum membeli rumah dan pengumuman itu memang amat melegakan saya sebagai penjawat awam,” ujarnya.

Bagi Nazirah Norulhisham, 21, pula, bantuan baucar buku bernilai RM250 yang diteruskan dan diumum pada bajet kali ini menyuntik semangat baginya sebagai pelajar di kolej untuk belajar.

Katanya, bantuan itu dapat meringankan beban pelajar di institusi pengajian tinggi terutama dalam menggunakan perbelanjaan untuk membeli buku-buku rujukan.

Nadzatul Nazirah Norulhisham

“Sekarang ini pun buku-buku yang dijual mahal, ditambah pula dengan perbelajaan peribadi.

“Bagi saya baucar seperti itu memang sangat penting kerana ia memberi manfaat terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan,” tambahnya.

Sementara itu, seorang usahawan, Ramlan Harun, 40, berkata, beberapa perkara berkaitan pendidikan yang diumum oleh perdana menteri seperti mewujudkan semula skim MyBrain kepada mereka yang mahu melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor mampu memperkasa golongan profesional.

Menurutnya, memperkasa bidang pendidikan sememangnya suatu perkara yang sangat perlu kerana ia mampu memjamin kelestarian sesebuah negara agar menjadi sebuah negara maju dengan rakyat berpendidikan.

Ramlan Harun

“Apa yang diumumkan itu memang untuk jangka masa panjang. Segalanya memang bagus dan selari dengan bajet yang diharap oleh rakyat,” katanya

Juruteknik, Winson Hor Toong, 45, berkata, penghapusan tol di beberapa buah negeri yang turut terkandung pada bajet kali ini memang sangat dialu-alukan.

Katanya, pengumuman penghapusan Tol Batu Tiga dan Tol Sungai Rasah di Selangor merupakan hadiah kepada rakyat negeri itu.

Winson Hor Toong

“Penghapusan tol sangat memberi kesan terhadap ekonomi terutama mereka yang menggunakan perkhidmatan itu.

“Dengan penghapusan tol ini, orang ramai terutama rakyat Selangor dapat mengurangkan perbelanjaan dari segi pergerakan mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast