Bangunan Ibu Pejabat TEKUN Nasional yang terletak di Menara 5, Jalan Lingkaran Tengah, Lingkaran Maju ( Maju Link ), Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM7 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP dalam Bajet 2018, termasuk RM5 bilion untuk modal kerja dan RM2 bilion lagi merupakan pinjaman dengan 70 peratus jaminan kerajaan untuk sektor perkhidmatan termasuk Revolusi Industri 4.0.

Perdana Menteri berkata, sebanyak RM1 bilion diperuntuk untuk pinjaman 70 peratus jaminan kerajaan di bawah SJPP.

Saiz dana Skim Pembiayaan PKS patuh Syariah ditambah RM1 bilion, menjadikan saiz dana sebanyak RM2.5 bilion dengan kemudahan ini diberi subsidi dua peratus ke atas kadar keuntungan.

Sejumlah RM200 juta ringgit bagi program latihan, geran dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp dan hampir RM82 juta bagi pembangunan industri dan produk halal di pelbagai agensi.

“Bajet ini mensasarkan syarikat-syarikat PKS akan menyumbang 41 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2020,” kata Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2018 di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Tekun pula menerima bajet paling tinggi iaitu RM500 juta manakala bajet bag Amanah Ikhtiar Malaysia ditambah sebanyak RM200 juta, menjadikan keseluruhan pembiayaan mencecah RM2.7 bilion yang boleh memanfaatkan hampir 400,000 peminjam.

Sejumlah RM80 juta turut disediakan di bawah Skim Pembiyaan Ekonomi Desa melalui Bank Rakyat dan Bank SME bagi menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera luar bandar. – MalaysiaGazette