TAPAH – Kesemua sembilan mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya di KM45 Jalan Ipoh-Teluk Intan dekat Mambang Di Awan dekat sini, pagi tadi adalah warga tempatan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt. Som Sak Din Keliau berkata, kesemua yang maut dalam kemalangan kira-kira 6.45 pagi membabitkan sebuah lori ais dan sebuah van pekerja ladang di kawasan berhampiran.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori yang berumur 22 tahun hilang kawalan semasa tiba di selekoh jalan berkenaan, sebelum memasuki laluan bertentang dan berlanggar dengan van tersebut.
“Lori ais itu dari Mambang Di Awan, Kampar menuju ke Air Kuning telah berlanggar secara berdepan dengan sebuah van yang membawa pekerja ladang dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran itu, kesemua penumpang serta pemandu van lelaki yang berumur 32 tahun maut di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tapah.
Som Sak berkata, pemandu lori yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Kampar sebelum dipindahkan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Siasatan awal mendapati kedua-dua pemandu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan trafik. – MalaysiaGazette