Noh bersama jentera UMNO Bahagian Shah Alam di Plaza Tol Sungai Rasau.

SHAH ALAM – Tan Sri Noh Omar tidak dapat menahan ketawanya apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mendakwa usaha kerajaan menghapuskan Tol Batu Tiga dan Tol Sungai Rasau di Lebuh Raya Persekutuan adalah hasil desakan Pakatan Harapan (PH).

“Itulah kelebihan menteri besar kita. Abang hisap… (abang) hisap aiskrim ya?

“Dulu dia panggil kita UMNO ni pemakan dedak, sekarang kita nak isytiharkan kepada penyokong Pakatan Harapan, ini (Mohamed Azmin) adalah penghisap aiskrim.

“Eloklah hisap cepat-cepat sebelum aiskrim tu cair,” katanya kepada media selepas berkumpul di Plaza Tol Sungai Rasau di sini, hari ini.

Menurut Noh, beliau bersama jentera UMNO Selangor dan UMNO Bahagian Shah Alam berkumpul di Plaza Tol itu sebagai tanda terima kasih parti dan rakyat negeri itu khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Naib Tun Razak menghapuskan dua tol dalam pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, semalam.

“Hari ini kita berkumpul kerana nak ucapkan tahniah kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kepada Perdana Menteri yang memahami denyut nadi rakyat,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Bahagian Shah Alam sejak sekian lama, setiap kali bermesyuarat mengemukakan usul desakan kepada kerajaan Persekutuan agar menghapuskan salah satu dari dua tol di Lebuh Raya Persekutuan itu.

Katanya, selama ini rakyat yang berulang alik menggunakan lebuh raya itu terpaksa berbelanja RM4.20 sehari untuk membayar tol di Tol Batu Tiga dan Tol Sungau Rasau.

“Dulu kita berkumpul dalam keadaan sedih, kini kita berkumpul dalam keadaan gembira. UMNO Shah Alam tiap tahun dalam mesyuarat bahagian kemukakan usul hapuskan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau ini. Hari ini suara UMNO telah didengar oleh kerajaan,” katanya.

Noh turut mengingatkan Mohamed Azmin dan pemimpin PH, tidak perlu mendabik dada mengejar nama kononnya mereka yang berjuang menghapuskan tol itu, kerana masyarakat sudah tahu UMNO adalah parti membela nasib rakyat. – MalaysiaGazette