Masyarakat india dilihat membeli belah disaat akhir menjelang Deepavali ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di bazar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih baik berbanding dengan bajet Pakatan Harapan (PH) jika difokuskan kepada pembangunan masyarakat India di negara ini.

Menurutnya, bajet PH yang dibentangkan oleh gabungan pembangkang itu tidak langsung memfokuskan kepada program ke arah pembangunan kaum ketiga terbesar di negara ini dari segi ekonomi.

“Saya tidak nampak apa-apa fokus mereka kepada masyarakat India, pada keseluruhan Bajet 2018 oleh PM, bajet sudah sampai ke pelosok masyarakat sehingga warga emas.

“Semua orang mendapat bantuan. Kalau lihat perkara diumumkan, bajet ini ada kuasa untuk jana kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Dalam bajet alternatif, PH hanya menyentuh satu perkara mengenai kaum India iaitu mewujudkan satu dana khas bagi meningkatkan bahagian ekuiti masyarakat India dan dana berasingan untuk memupuk usahawan India.

Namun menurut Subramaniam, langkah itu tidak dilihat mampu untuk mengurangkan bebanan masyarakat kini.

Memberikan contoh pengurangan cukai pendapat sebanyak dua peratus dalam Bajet 2018, Subramaniam berkata langkah BN itu akan meningkatkan kadar capaian masyarakat dalam ekonomi sekaligus menambahkan simpanan masyarakat.

Najib dalam Bajet 2018 Jumaat lalu, antaranya memperuntukkan RM50 juta untuk membantu lebih 35,000 usahawan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan urus Niaga (TEKUN), di samping penambahan RM50 juta lagi untuk program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India.

Malah satu inisiatif baharu turut diperkenalkan iaitu pengagihan 1.5 bilion unit saham tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk kaum India terhad kepada 30,000 unit setiap keluarga. -MalaysiaGazette.