KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedih atas pemergian Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang telah kembali ke rahmatullah petang ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha menganggap negara kehilangan seorang tokoh yang telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan wakaf korporat di Malaysia.
Katanya, peranan Allahyarham Muhammad Ali sebagai Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) ternyata telah merancakkan perkembangan ekonomi Islam di negara ini.
“Saya mewakili warga JAKIM melahirkan rasa sedih dan dukacita di atas pemergian Allahyarham yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini malam ini.
Tokoh korporat Melayu itu meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara kerana kanser petang tadi.
Menurut Othman, Allahyarham Muhammad Ali adalah Ketua Kluster Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) yang telah mencurahkan idea bernas terhadap kemajuan ekonomi umat Islam.
Malah, katanya, Allahyarham juga pernah menerima Anugerah Penghargaan Maal Hijrah Tahun 1428H/2007M peringkat kebangsaan.
“Semoga keluarga beliau tabah dan sabar menghadapi ketentuan Ilahi dan saya doakan agar roh Allahyarham dilimpahi rahmat Allah,” katanya. – MalaysiaGazette
Bekas peneraju JCorp meninggal dunia