Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kedudukan Malaysia jatuh sedikit ke tangga 24 daripada 190 ekonomi di dunia berbanding ke-23 sebelumnya dalam memudahkan perniagaan mengikut Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2018.

Biarpun mengalami sedikit penurunan dari segi kedudukan, Malaysia tetap mencatat peningkatan skor “jarak ke hadapan” (DTF) sebanyak 0.96 kepada 78.43 berbanding 77.47 sebelumnya.

Penurunan kedudukan itu disebabkan hasil pembaharuan dilaksanakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan kenaikan skor DTF sebanyak 1.87, membolehkan kedudukan negara itu naik mendadak dari 26 pada tahun lalu kepada 21 tahun ini.

Di peringkat Asia Timur dan Pasifik, Malaysia mengekalkan kedudukannya di tempat keempat selepas Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

Menurut laporan itu, Malaysia melaksanakan tiga pembaharuan perniagaan sepanjang tahun lalu, iaitu mendapatkan kredit, urus niaga rentas sempadan dan melindungi pelabur minoriti.

Bagi meningkatkan akses mendapatkan kredit, Malaysia menguatkuasakan undang-undang baharu iaitu Akta Syarikat 2016 membolehkan penubuhan pendaftaran cagaran yang moden.

Selain itu, Malaysia juga memudahkan lagi proses eksport dan import dengan meningkatkan infrastruktur, peralatan dan kemudahan di pelabuhan Klang dan mengurangkan masa untuk proses import dari 72 jam pada 2015/2016 kepada 69 jam pada 2016/2017.

Dalam melindungi pelabur minoriti, Malaysia berada pada kedudukan ke-4, tempat yang memerlukan ketelusan korporat yang tinggi, selain mengatasi penyalahgunaan aset syarikat bagi kegunaan peribadi.

DB 2018 mewakili petunjuk kuantitatif 10 bidang kawal selia perniagaan, iaitu memulakan perniagaan, menguruskan permit pembinaan, mendapatkan tenaga elektrik, mendaftar harta, mendapatkan kredit, melindungi pelabur minoriti, membayar cukai, urus niaga rentas sempadan, menguruskan kontrak dan menyelesaikan insolvensi.- MalaysiaGazette

Sepanjang 15 tahun lalu sewaktu laporan itu kali pertama diperkenalkan, Malaysia sudah melaksanakan 23 pembaharuan, lebih tinggi dari purata 15 pembaharuan yang dilakukan oleh negara di rantau Asia Timur dan Pasifik. – MalaysiaGazette