PUTRAJAYA – Beberapa pimpinan bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Johor, hari ini membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung kegagalan parti itu mengadakan mesyuarat agung sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun pusat.

Ketua Penerangan PPBM Bahagian Kluang, Arjuna Putra Ali berkata mengikut Akta Pertubuhan 1967 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, parti itu sepatutnya mengadakan mesyuarat agung tahunan selewat-lewatnya 9 Sept lepas, iaitu dalam tempoh setahun selepas penubuhan parti.

“Setakat ini, kepimpinan PPBM telah mengadakan satu perhimpunan di Muar tetapi ia hanyalah sambutan hari jadi dan bukan mesyuarat agung seperti dikehendaki,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu, di sini hari ini.

Arjuna Putra berkata dokumen yang diserahkan kepada RoS termasuk 358 aduan bertulis yang diterima daripada tujuh bahagian – Bakri, Kluang, Sembrong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Ledang dan Batu Pahat.

Menurutnya isu itu telah beberapa kali diusulkan kepada kepimpinan parti, namun tiada tindakan diambil setakat ini.- BERNAMA