Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor bermesyuarat mahu tindakan undang-undang diambil ke atas Tun Mahathir.

KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor mahu satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan kenyataannya menghina bangsa Bugis.

Gesaan itu yang dikeluarkan hari ini oleh Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais, setelah menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“DYMM Sultan Selangor setelah berbincang dengan Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor pada 2 November (hari ini) memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Himpunan Sayangi Malaysia – Hapuskan Kleptokrasi yang berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu.

“Kenyataan itu yang dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media di sini, hari ini.

Dalam ucapan itu, Dr. Mahathir antara lain menyebut, “dia (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) berasal dari lanun Bugis, entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia, pergi baliklah ke Bugis”.

Menurut Hanafisah, berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang telah tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Dr. Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah.

Dengan itu, kata beliau, Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menganggap ucapan berkenaan amat keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru hara.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis.

“Fakta sejarah membuktikan Kesultanan Selangor berketurunan Bugis adalah pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahakan agama dan keamanan di seluruh kepulauan Melayu Nusantara,” katanya.

Beliau berkata, Dr. Mahathir sebagai seorang bekas perdana menteri yang menerajui pemerintahan negara selama tempoh 22 tahun seharusnya lebih berhat-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya juga lebih mengetahui mengenai fakta sejarah keturunan bangsa Bugis.

Ujar beliau, DYMM Sultan Selangor juga mengingatkan kepada semua pihak terutama orang politik untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ianya boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat negara ini.

“Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan dengan isu ini dan berpandangan agar satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang bekaitan wajar diambil ke atas Tun Dr. Mahathir,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast