Antara kawasan perumahan di P. Pinang yang dinaiki air akibat banjir kilat.

PULAU PINANG – Sebanyak 119 kes banjir kilat dilaporkan berlaku di negeri ini dalam tempoh kira-kira lima tahun iaitu sejak 2013 hingga Oktober lalu.

Kejadian itu juga menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 22 kejadian pada 2013; 20 (2014); 26 (2015); 30 (2016) dan 21 kali tahun ini setakat Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu-lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata, kebanyakan kawasan yang terjejas adalah di bahagian pulau negeri ini iaitu di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian banjir yang disifatkan terburuk di negeri ini pada 15 September lalu, Kon Yeow berkata, kejadian tersebut berpunca daripada jumlah taburan hujan yang tinggi dalam masa sehari yang menyamai taburan hujan bagi tempoh sebulan.

“Sebahagian sungai dan sistem saliran di kawasan penempatan penduduk tidak dapat menampung jumlah kadar air aliran permukaan hujan lebat itu yang turut dibawa kesan daripada taufan Doksuri.

“Selain itu, sampah domestik, industri dan pertanian yang dibuang ke dalam sungai dan parit turut menyebabkan sistem saliran tidak berfungsi dengan baik dan menjadi punca kepada banjir kilat ketika itu,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan yang dikemukakan Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) berkenaan kekerapan banjir kilat di negeri ini sejak 2013 serta jumlah mangsa dan kawasan yang terlibat.

Sementara itu, berhubung soalan berkenaan langkah mengatasi masalah tersebut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil beberapa pendekatan termasuk melaksanakan projek-projek tebatan banjir di kawasan yang kerap terjejas. – MalaysiaGazette