Aireen Omar

KUALA LUMPUR – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) merupakan dua buah terminal yang berbeza.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Aireen Omar, kedua-dua lapangan terbang itu menyediakan perkhidmatan dan kemudahan pada tahap yang berbeza kepada penggunanya.

Katanya, adalah tidak tepat untuk mengatakan perkhidmatan yang disediakan oleh kedua-dua lapangan terbang itu setanding memandangkan kemudahan di KLIA adalah lebih baik berbanding klia2.

Berikutan itu, menurutnya, adalah tidak tepat untuk Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendakwa penumpang di lapangan terbang lain memberi subsidi kepada operasi klia2.

“Kami mahu mendapatkan ketelusan MAVCOM atas dakwaan ini dan menggesa MAVCOM mengkaji semula maklum balas penggembara dan pengguna klia2 dan mengkaji pelbagai pembentangan perbezaan kemudahan dan perkhidmatan antara klia dan klia2,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, MAVCOM menerusi satu artikel menyatakan langkah menyamakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) antara klia2 dan KLIA akan memastikan kedudukan adil jangka panjang bagi syarikat penerbangan yang beroperasi di kedua-dua lapangan terbang itu.

Menurut suruhanjaya itu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang berpangkalan di Geneva, berulang kali menyuarakan sokongan untuk menyamakan PSC, dengan mengatakan perbezaan caj akan menjurus kepada subsidi bersilang, dengan penumpang KLIA membayar untuk perkhidmatan yang dinikmati oleh penumpang klia2.

Mulai Januari tahun depan, PSC antarabangsa di klia2 akan dinaikkan kepada RM73 berbanding RM50 ketika ini, bersamaan dengan kadar untuk pelepasan antarabangsa di semua lapangan terbang lain di Malaysia.

Menurut MAVCOM, secara rasionalnya langkah menyamakan PSC itu disebabkan klia2 sudah sebanding dengan KLIA dan sebuah lapangan terbang yang lebih hebat berbanding lapangan terbang lain di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu dan Kuching.

Hujahnya selagi PSC klia2 lebih rendah, PSC yang dibayar oleh penumpang dari lapangan terbang lain di Malaysia akan digunakan untuk penyelenggaraan klia2.

Ini bermakna penumpang memberi subsidi kepada lapangan terbang yang mempunyai kemudahan yang lebih baik, yang mereka sendiri tidak gunakan.

Menurut Aireen, IATA tidak mewakili syarikat penerbangan utama penumpang di kedua-dua terminal itu.

Katanya, tanpa ketelusan dan penilaian bebas terminal lapangan terbang AITA tidak berada pada kedudukan terbaik untuk membuat kenyataan bagi pihak industri dan penumpang dan garis panduan yang menyokong ‘caj lapangan terbang yang adil dan kos efektif’.

“Adalah tidak tepat untuk mengatakan Airasia beroperasi di atas tongkat kerajaan memandangkan mereka mendapat kelebihan harga kompetitif dari PSC yang lebih rendah daripada pembayar cukai,” katanya.

Tambah beliau, PSC dibayar secara terus oleh pengguna dan tidak memberi kesan kepada prestasi kewangan AirAsia. – MalaysiaGazette