BOTA – Seorang remaja ditahan reman selama seminggu hingga 6 November ini bagi membantu siasatan kes liwat adik perempuannya dalam satu kejadian di Bota Kiri, 28 Oktober lalu.

Lelaki berusia 20 tahun terbabit ditahan selepas polis menerima laporan daripada keluarga mangsa, Ahad lalu memaklumkan kejadian melibatkan mangsa berusia tujuh tahun, lapor sebuah laman portal.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, berdasarkan laporan, kejadian itu terbongkar apabila secara tidak sengaja bapa mangsa terdengar perbualan antara mangsa dengan adik perempuannya berusia empat tahun.

Menurutnya, dalam perbualan itu, mangsa memaklumkan lelaki yang digelar angah memanggilnya masuk ke dalam bilik air sebelum membuka seluar dan meliwatnya.

“Ketika kejadian berlaku, ibu mangsa bekerja dan meninggalkan mangsa di bawah jagaan abangnya.

“Siasatan awal mendapati, mangsa kini berada dalam keadaan trauma dan enggan bercakap,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette