KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menyokong penuh iltizam Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Mazlan Lazim untuk membersihkan kegiatan perjudian haram di ibu negara dalam tempoh 30 hari bermula semalam.
Ketua Penerangannya, Mohd. Shahir Abu Hassan berkata, ini membuktikan polis selaku penguat kuasa utama undang-undang dalam negara mempunyai keupayaan menanganinya.
Walaupun Pemuda Pas memahami betapa tindakan itu penuh cabaran dan liku, pihaknya percaya Mazlan mampu melakukannya.
“Tekad Mazlan ini adalah langkah tegas dan berani beliau dalam usaha membersihkan ibu kota daripada aktiviti perjudian.
“Pemuda Pas yakin beliau cukup berpengalaman dengan selok belok ibu kota, memandangkan sebelum ini beliau pernah menjawat Ketua Polis Kelantan dan Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri selama 13 tahun,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Selain itu, Mazlan berkata, tempoh 30 hari itu diberikan kepada setiap ketua polis daerah supaya mereka serius dan benar-benar fokus dalam menangani kegiatan perjudian di kawasan masing-masing.
Menurut Mohd Shahir, kerencaman dan segala tipu helah jenayah sudah pasti dalam genggaman Mazlan dan sejajar dengan iltizam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang turut mengisytiharkan perang terhadap judi dan aktiviti haram.
Ujar beliau, ribuan premis judi di Kuala Lumpur tentunya dapat dibasmi dari kesepaduan penguatkuasaan.
“Komitmen ditunjukkan teraju kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini juga diharap dapat menangani dilema kelemahan penguatkuasaan dalam menyelesaikan kes seperti ini sejak sekian lama.
“Kecurangan penguatkuasa dapat diperbetulkan oleh integriti dan ketegasan kepimpinan yang diteladankan oleh kedua pimpinan ini,” ujarnya.
Beliau menyeru masyarakat memberi kerjasama dan menyokong usaha itu dengan Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan bersedia bekerjasama membanteras kegiatan yang boleh merosakkan masyarakat. – MalaysiaGazette