Wanita Malaysia yang enggan tunduk kepada kehendak sindiket penipuan telah dicederakan.
KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan antarabangsa telah mengubah modus operandinya dengan bermarkas di Thailand, tetapi merekruit muda-mudi Malaysia sebagai “ejen telepemasaran”.
Keadaan itu berlainan dengan amalan biasa Macau Scam yang sering menggunakan perkhidmatan waga China dan Taiwan sebagai ejen dalam kegiatan penipuan mereka.
Susulan pembongkaran satu markas sindiket penipuan oleh polis Thailand baru-baru ini, China Press melaporan, sindiket penipuan telah memperdaya rakyat Malaysia untuk bekerja di negara jiran tersebut dengan menjanjikan peluang pekerjaan dalam telepemasaran.
Mereka akan diberi latihan penipuan di Thailand dan keengganan untuk berkecimpung dalam kegiatan haram akan menyebabkan masang ditahan dan dipukul secara kejam.
Jack, ayah kepada seorang mangsa lelaki memberitahu anaknya yang berumur 19 tahun telah menghadiri temuramah kerja di Kuala Lumpur sebelum ditawarkan latihan dan kerja di Thailand pada Ogos lalu.
“Dalam proses latihan, anak saya dan seorang rakan wanita juga dari Malaysia sedar bahawa mereka bakal menjadi penipu. Kerana enggan menurut kehendak sindiket dan meminta dihantar pulang ke Malaysia, mereka akhirnya diganasi,” katanya kepada China Press.
Ayah tersebut yang terputus komunikasi dengan anaknya, tetapi menerima pesanan meminta tolong dari semasa ke semasa, seterusnya bertandang ke Bangkok dan meminta bantuan Kedutaan Malaysia di situ.
Berikutan daripadanya, polis Thailand telah menyerbu sebuah rumah di kawasan pinggir bandar di Bangkok dan menangkap seorang yang dipercayai sebagai ketua sindiket Macau Scam dari Taiwan.
Selain anak Jack, seorang wanita Malaysia juga berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Thailand dalam serbuan yang dijalankan.
Menurutnya, walaupun anaknya tidak dicederakan, tetapi wanita Malaysia telah dipukul, dicekik dan diugut dengan pisau sehingga cedera di banyak bahagian badan. – MalaysiaGazette