Tengku Razaleigh Hamzah
Calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mahu budaya politik wang dalam pemilihan parti itu dapat dihapuskan, sekali gus perwakilan dapat memilih pemimpin mereka dengan lebih jujur dan ikhlas.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah seorang pemimpin yang berprinsip dan tegas dalam membangunkan Malaysia selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957, kata veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata Tunku juga seorang negarawan yang budiman dan seorang pemimpin demokratik yang berwawasan dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berpelembagaan.

“Tunku sebagai seorang ahli politik yang berkelulusan undang-undang di England, telah berjaya menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia selepas mencapai kemerdekaan daripada British, malah Tunku sendiri pernah menyatakan bahawa beliau mahu menjadi perdana menteri paling gembira di dunia, maksud Tunku ialah memastikan rakyat Malaysia hidup aman damai dan bahagia,” katanya.

Tengku Razaleigh yang juga Anggota Parlimen Gua Musang dan bekas Menteri Kewangan berkata demikian semasa menyampaikan syarahan bertajuk – Visi Tunku Abdul Rahman, Bapa Malaysia untuk Keamanan dan Kemakmuran Malaysia’ di Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Program syarahan itu dianjurkan Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMPP) dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia dan Think City. Turut hadir Pengerusi MPMPP Tan Sri Mohd Yussof Latiff dan Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz.- BERNAMA