IMBAS KEMBALI.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media selepas meluangkan masa melawat Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Banjir Guar Jering Penanti, Permatang Pauh. foto SAFWAN MANSOR, 06 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pasti ramai yang terkejut, tidak kurang yang sebak melihat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang terkenal dengan sifat ‘hidung tinggi’, bonggak dan ego hampir menangis memohon bantuan daripada kerajaan pusat untuk menyelamatkan Pulau Pinang.

Guan Eng tidak segan silu membuat pengakuan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi menjawab panggilan telefon beliau sekitar jam 3.45 pagi semalam dan berjanji akan menghantar pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi kerja-kerja menyelamat memandangkan keadaan semakin kritikal yang juga telah mengorbankan empat nyawa warga emas.

Aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor, Fikri Allaudin melontarkan persoalan bagaimana ketika itu Guan Eng membuang ideologi politik dan retorik beliau, sebaliknya sanggup memohon bantuan daripada pihak lawan demi keselamatan dan kebajikan rakyat di Pulau Pinang.

Menurut Fikri, bala bencana banjir yang selama ini tidak begitu menarik perhatian telah benar-benar menguji ego dan juga mungkin telah menanam sedikit ‘keinsafan’ kepada Setiausaha Agung DAP itu.

“Manakan tidak, ketika Pulau Pinang diuji, siapa yang beliau cari? Kawan atau lawan? Sudah tentu akhirnya lawan beliau sendiri yang membantu tanpa prejudis.

“Mengetepikan ideologi politik dan fahaman bagi sama-sama membantu rakyat Pulau Pinang yang terjejas teruk akibat bencana ini.

“Malah, Guan Eng sendiri mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Zahid Hamidi yang mengangkat panggilan telefon pada jam 3.30 pagi dan terus menggerakkan bantuan serta merta,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Zahidi Hamidi turut turun ke Pulau Pinang hari ini bagi meninjau kejadian banjir selain melakukan perbincangan bagi kerajaan pusat untuk menghulurkan bantuan.

Malah Negeri Johor melalui Menteri Besarnya, Datuk Seri Khaled Nordin yang terawal tampil menghantar 200 sukarelawan bagi membantu bala bencana itu, tidak cukup dengan itu pelbagai parti politik Barisan Nasional serta agensi turut dikerahkan ke Pulau Pinag dengan kadar segera.

Soal Fikri, mengapa ‘kawan-kawan’ Guan Eng yang sering bersama-sama dalam pentas politik dan gah bercakap tentang memperjuangan kebajikan rakyat hilang serta membiarkannya menghadapi situasi itu keseorangan.

“Yang kita lihat hanya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bersama Guan Eng. Mana yang lain-lain? Mengapa dibiarkan sahaja Guan Eng keseorangan menghadapi bala bencana ini?

“Majoriti kawan-kawan Pakatan Harapan Guan Eng seperti tidak mengambil peduli tentang situasi yang melanda Pulau Pinang. Mereka lebih cenderung dan radikal bagi terus menyerang kerajaan.

“Jika Pakatan Harapan boleh bersatu hati dan tenaga meredah pelbagai cabaran mengadakan pelbagai demonstarsi menjatuhkan kerajaan mengapa tidak sanggup mengotorkan pakaian dan mengorbankan tenaga membantu mangsa banjir di Pulau Pinang kali ini?

“Jika Invoke boleh meraih simpati mengutip derma berjuta-juta ringgit semata mata tidak mahu melihat Rafizi Ramli jatuh muflis, mengapa tidak kumpul dana bantu rakyat Pulau Pinang yang sedang jatuh dilanda musibah? Jika PPBM boleh menggunakan DAP bagi kepentingan politik, mengapa apabila DAP dalam musibah tiada pula ultra Melayu PPBM menjadi skuad paling hadapan? Ke mana hilangnya Mat Sabu, PAN dan Tun Mahathir?,” ujarnya.

Tambah Fikri, ini adalah warna sebenar pakatan pembankang yang tidak ‘sepakat’ dalam hal-hal berkaitan kepentingan rakyat, sebaliknya hanya agenda politik peribadi didukung oleh mereka.

“Begitulah gambaran kawan-kawan Guan Eng ketika ini dan selamanya. Hidup mereka 7 hari seminggu, 30 hari sebulan dan 365 setahun hanya berpolitik semata-mata. Tiada langsung sifat ihsan terhadap insan dalam diri mereka.

“Politik dan kuasa sudah jadi iman dan panduan semata-mata. Bertabahlah Pulau Pinang. Semoga Allah sentiasa merahmati dan membantu segala urusan semua pihak di sana,” katanya. – MalaysiaGazette

Keadaan banjir di Pulau Pinang di mana sebahagian calon peperiksaan Sek. Men. Keb. Datuk Haji Ahmad Said mengharungi banjir untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan banjir yang melanda ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sg. Dua, Butterworth, Pulau Pinang. foto SAFWAN MANSOR, 06 NOVEMBER 2017.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast