Home Ekonomi Maybank tawar moratorium 6 bulan kepada mangsa banjir Pulau Pinang

Maybank tawar moratorium 6 bulan kepada mangsa banjir Pulau Pinang

KUALA LUMPUR – Maybank mengumumkan moratorium selama enam bulan bayaran ansuran bulanan pinjaman dan memansuhkan caj-cah tertentu berdasarkan kes bagi para pelanggannya yang menjadi mangsa banjir di Pulau Pinang.

Penggantungan pembayaran itu bagi pelanggan-pelanggan perbankan perniagaan, perbankan PKS dan perbankan.

Ia juga termasuk pengecualian caj bagi pelanggan terjejas untuk mengganti kad ATM, buku cek, buku akaun yang musnah akibat banjir.

“Maybank akan mempertimbangkan permintaan daripada pelanggan kad kredit yang terlibat pengecualian caj bayaran lewat atau kewangan dan permohonan untuk meningkatkan had kredit dalam tempoh ini, tertakluk kepada garis panduan dan dasar sedia ada,” kata Presiden Kumpulan Maybank dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Farid Alias.

Tambahnya, moratorium ini selaras dengan misi Maybank untuk menginsan perkhidmatan kewangan di mana sahaja ia beroperasi.

Etiqa, rangkaian insurans Maybank juga akan mempercepatkan proses tuntutan serta membantu meringankan kesulitan kewangan pemegang insurans dengan menyediakan talian bantuan tuntutan.

Pelanggan boleh menghubungi talian hotline 1-300-886688 untuk maklumat lanjut atau datang ke cawangan Maybank untuk memohon moratorium.

Talian hotline Tuntutan Banjir Etiqa boleh dihubungi di 03-2692 8188 atau 011 630 6646 (Whatsapp). – MalaysiaGazette