KUALA LUMPUR – PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV) akan menjadi pengamal awal Piawaian Sukuk Hijau ASEAN bagi membiayai pembinaan projek Menara Merdeka PNB118 di di Jalan Stadium, Kuala Lumpur.
PNBMV adalah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Firma ini telah mencadangkan terbitan Sukuk Hijau Bercagar dengan tempoh 15 tahun menerusi Program Sukuk tanpa penarafan sehingga RM2 bilion, yang dikenali sebagai Program Sukuk Hijau Merdeka ASEAN SRI.
Ia bagi membiayai pembinaan ruang pejabat 83 tingkat, yang menjadi sebahagian daripada projek menara Merdeka PNB118.
Program Sukuk Hijau Merdeka ASEAN SRI bakal menjadi pengamal awal Piawaian Bon Hijau ASEAN yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan mematuhi garis panduan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) di bawah seliaan SC untuk Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Kemuka dan Lancar.
MIDF Amanah Investment Bank Berhad adalah penasihat dan pengatur utama untuk Program Sukuk Hijau Merdeka ASEAN SRI.
Wakil Kumpulan Bank Dunia ke Malaysia, Faris Hadad-Zervos berkata, penerbitan sukuk hijau pertama oleh syarikat berkaitan kerajaan itu menandakan kemasukan sukuk hijau ke dalam pasaran utama sukuk.
“Hakikanya membiayai pembinaan bangunan hijau menunjukkan sukuk hijau ini bukan sekadar tentang tenaga yang diperbaharui, tetapi mencakupi pelbagai projek mesra alam. Kumpulan Bank Dunia akan terus menjadi rakan usahasama Malaysia dalam membangunkan pendekatan inovatif ke arah kewangan mampan,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Tengku Datuk Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, pembangunan Warisan Merdeka telah mengambil langkah-langkah wajar untuk
memastikan dasar dan amalan terbaik yang mampan diguna pakai untuk operasi dan pembinaan bangunan, sejajar dengan piawaian global.
Setelah siap dibina, Merdeka PNB118 akan menjadi bangunan pertama di Malaysia yang menepati tiga akreditasi platinum bangunan hijau tempatan dan antarabangsa iaitu Indeks Bangunan Hijau (GBI), Hartanah Hijau (GreenRE) dan Kepimpinan Dalam Tenaga dan Rekaan Alam Sekitar (LEED).
Merdeka PNB118 yang dijangka siap pada tahun 2020 akan menjadi bangunan pencakar langit Kuala Lumpur menggantikan Menara Berkembar Petronas dan sekali gus menjadikannya bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan kelima tertinggi di dunia. – MalaysiaGazette