Home Dunia Tangkapan elit Arab Saudi hapuskan rasuah

Tangkapan elit Arab Saudi hapuskan rasuah

(dari kiri) Putera Alwaleed bin Talal, bekas Gabenor Riyadh, Putera Turki bin Abdullah, Putera Miteb bin Abdullah dan bekas menteri kewangan, Ibrahim al-Assaf, antara yang ditahan bagi siasatan anti-rasuah. foto Reuters

RIYADH – Peguam Negara Arab Saudi berkata, penangkapan beberapa putera negara itu, ahli perniagaan dan menteri pada hujung minggu hanya “fasa pertama” dalam usaha menangani rasuah.

Katanya, semua suspek akan mendapat akses kepada penasihat undang-undang dan berjanji untuk melakukan pendakwaan ‘pada tepat masanya dan terbuka’.

Penangkapan itu adalah “semata-mata permulaan proses penting untuk menghapuskan rasuah yang wujud”, kata Sheikh Saud Al Mojeb dalam satu kenyataan.

Tindakan keras terhadap beberapa orang terkaya dan paling berkuasa di Arab Saudi itu telah memberi risiko kepada kekayaan peribadi yang berjumlah AS$33 bilion.

Penahanan itu melibatkan tiga individu paling kaya di Arab Saudi iaitu Putera Alwaleed bin Talal, yang berada pada kedudukan ke-50 dalam Indeks Bilionair Bloomberg dalam kalangan 500 individu terkaya dunia dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$19 bilion.

Turut ditahan ialah individu kedua terkaya di Arab Saudi dan kelima di dunia, Bakr Binladin.

Tangkapan itu telah menyebabkan semua akaun mereka yang terlibat dibeku. Kesemua mereka ditahan di Hotel Ritz-Carlton.

Penahanan atas perintah Raja Salman itu mendapatkan pujian dalam kalangan rakyat Arab Saudi yang sebelum ini menyifatkan golongan elit negara itu sudah melepasi undang-undang.

Seorang pegawai kanan Arab Saudi telah menafikan tindakan keras itu mempunyai tujuan lain daripada memerangi rasuah.

Menurut pegawai itu, tuduhan terhadap Putera Alwaleed termasuk pengubahan wang haram, rasuah dan pemerasan.

Putera Miteb pula didakwa melakukan penyelewengan, pekerjaan palsu dan pemberian projek kepada syarikatnya sendiri.

Seorang lagi anggota keluarga diraja, Putera Turki bin Abdullah, dituduh melakukan rasuah yang berkaitan dengan projek kereta api di Riyadh, menggunakan pengaruhnya untuk memenangi projek-projek bagi syarikat-syarikat yang bersekutu dengannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast