Abdul Wahid Omar
Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Sekarang bukan masa yang sesuai untuk Permodalan Nasional Bhd. (PNB) untuk mempertimbangkan pelaburan di luar negara memandangkan nilai ringgit yang semakin lemah berbanding nilai sebenarnya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, di sebalik jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat serta lebih banyak pelaburan yang akan berpindah ke negara tersebut, PNB akan tetap mengambil peluang ke arah itu.

“Kami memang menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah mereka dari masa ke semasa dan ianya hanya menunggu masa yang sesuai sahaja (untuk dilaksanakan).

“Dari segi perspektif PNB, apabila kami memperuntukkan pelaburan-pelaburan kami, kami selalu melihat kepada kepelbagaian portfolio serta struktur pembiayaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Intergriti Kebangsaan 2017 yang dianjurkan bersama Petronas dan Institut Integriti Malaysia di sini hari ini.

PNB membuat 98 peratus pelaburan di dalam negara manakala baki dua peratus lagi dilabur di luar negara.- MalaysiaGazette