Eksekutif Chef Restoran 10 Binjai, Ibrahim Abu Lassi menunjukkan sajian Char Kway teow Ketam terbaru pada Food Review East Meets West di Restoran 10 Binjai, Hotel PNB Perdana Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Memang tidak logik apabila mendapat tahu harga set hidangan baharu yang ditawarkan PNB Perdana Hotel & Suites On The Park ketika ini.

Hanya berharga RM25 bagi hidangan seperti Perdana Crab Kway Teow tampil bersama seekor ketam yang besar.

Harga tersebut sangat berpatutan apatah lagi pelanggan dapat menjamunya di restoran sebuah hotel yang berhawa dingin apatah lagi dalam suasana tenang.

Promosi terbaharu yang dikenali “East Meets West” itu kini terdapat di 10 Binjai Restoran sejak 1 November lalu hingga hujung bulan ini.

Lebih menarik, promosi itu turut melibatkan menu seperti laksam dan masak lemak daging salai serta semua menu ini termasuk pakej dengan air minuman dan buah-buahan sebagai pencuci mulut.

Antara sajian terbaru yang terdapat pada Food Review East Meets West di Restoran 10 Binjai, Hotel PNB Perdana Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2017

Menurut Eksekutif Chef hotel berkenaan, Ibrahim Abu Lassi, gara-gara sambutan yang luar biasa ke atas menu tersebut, pihaknya merancang untuk melanjutkan tempoh promosi hingga akhir Disember depan.

“Lebih memberi keselesaan kepada pelanggan, semua hidangan promosi itu boleh ditempah bermula pukul 11 pagi hingga 10.30 malam setiap hari.

“Pelanggan boleh datang sahaja dan tidak perlu membuat tempahan awal kerana restoran kami boleh memuatkan pelanggan sehingga 200 orang dalam satu masa,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Ibrahim berkata, set hidangan baharu itu diperkenalkan kepada pelanggan bagi memenuhi citarasa dan selera pelanggan dari pelbagai bangsa dengan harga yang amat berpatutan.

Jelasnya, promosi itu juga bersesuaian buat penggemar masakan bercirikan tradisional dan antarabangsa.

“Promosi baru ini dirangka melalui perbincangan bersama pasukan cef kami yang berpengalaman dan juga melalui maklum balas daripada pelanggan yang pernah berkunjung di 10 Binjai Restoran.

“Akhirnya, terdapat empat menu tempatan serta empat menu antarabangsa yang ditawarkan dalam memberi variasi kepada pelanggan,” katanya.

Eksekutif Chef Restoran 10 Binjai, Ibrahim Abu Lassi menunjukkan sajian ayam panggang terbaru pada Food Review East Meets West di Restoran 10 Binjai, Hotel PNB Perdana Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2017

Menurut Ibrahim yang telah berkhidmat di hotel itu selama tujuh tahun, antara menu yang mendapat sambutan menggalakkan dari pelanggan adalah Perdana Crab Kway Teow.

“Bagi yang menginginkan sedikit kelainan, pastinya boleh mencuba hidangan terbaru ini. Kebiasaannya kuetiau dimasak bersama lala atau udang namun kali ini kami ingin bereksperimentasi dengan menggunakan ketam sebagai bahan utama.

“Lebih menarik lagi ramuan serta bahan-bahan yang digunakan merupakan adunan dari bahan-bahan rempah ratus terpilih yang menjadikan rasa Perdana Crab Kway Teow ini sangat unik dan menyelerakan.

“Ramai pelanggan mencari menu ini kerana kami menggunakan ketam bunga yang segar dan hanya dimasak sebaik menerima tempahan serta bukan dalam kuantiti yang banyak,” katanya berpengalaman sebagai chef lebih 30 tahun.

Ibrahim memberitahu, menu tempatan lain pula merupakan inspirasi masakan yang terkenal dari negara lain dan secara tidak langsungnya turut mempamerkan imej kebudayaan seperti Daging Salai Lemak Cili Api yang sangat popular di Negeri Sembilan dan Laksam yang merupakan menu wajib sekiranya berada di Kelantan.

Turut disajikan ialah pilihan lain seperti Sweet and Sour Fish dan 10 Binjai Chicken Curry.

“Bagi menu Sweet and Sour Fish, harga yang ditawarkan berjumlah RM22 sepinggan manakala  10 Binjai Chicken Curry dan Daging Salai Lemak Cili Api pula berharga RM22 sepinggan.

“Menu ini disajikan dengan nasi putih, sayur jeruk dan keropok. Laksam Kelantan pula ditawarkan dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM15.80.

“Bagi penggemar masakan antarabangsa pula, anda boleh mencuba menu kami iaitu Grilled Fish Fillet dengan harga RM25 sepinggan yang disajikan bersama sup cendawan.

“Kami juga turut menawarkan Meatball Pasta bersama salad dengan harga sebanyak RM25 sepinggan. Di samping itu, Half Bird Roasted Chicken juga disajikan dengan harga RM21 sepinggan bersama sup cendawan sebagai menu tambahan,” katanya.

Eksekutif Chef Restoran 10 Binjai, Ibrahim Abu Lassi menunjukkan antara sajian terbaru pada Food Review East Meets West di Restoran 10 Binjai, Hotel PNB Perdana Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2017

Sementara itu, PNB Darby Park yang diberikan penjenamaan semula sejak Julai 2005 sebagai PNB Perdana Hotel & Suite On The Park berada di lokasi yang strategik kerana berhampiran dengan pusat membeli belah yang ternama di Kuala Lumpur seperti Suria KLCC, Pavilion, Lot 10, Bukit Bintang dan juga Plaza Sungei Wang.

Hotel ini juga mempunyai fasiliti yang bertaraf empat bintang untuk keselesaan pelanggannya.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi 10 Binjai Restoran kami di talian 037490 3838.

Untuk maklumat lanjut mengenai hidangan terbaru ini, anda boleh layari laman sesawang kami di www.pnbperdanaonthepark.com. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast