Mohd Hafifi Mansor

SEPANG – Atlet Olimpik negara, Mohd Hafifi Mansor berharap Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dapat membantunya membuat rayuan kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) bagi mengurangkan tempoh penggantungan sendainya keputusan ujian doping bagi sampel B turut positif.

Alet kelahiran Terengganu itu, yang pulang dari Sydney, Australia, selepas melihat proses ujian sampel B, berkata keputusan dijangka diketahui selewat-lewatnya minggu depan dan beliau bersedia menerima keputusan ujian tersebut dengan hati terbuka.

Mohd Hafifi digantung sementara oleh IWF bermula 13 Okt lalu selepas dilaporkan gagal dalam ujian doping ketika menyertai Kejohanan Terbuka Australia, Mac lepas.

Badan induk itu menerusi laman sesawangnya;www.iwf.net menyatakan penggantungan itu dibuat selepas dapatan analisis memudaratkan (AAF) sampel urin yang dikembalikan atlet itu mengandungi Oxymetholone, bahan steroid sintetik anabolik dan androgenik.

“Saya tahu peluang saya tipis tapi saya berharap PABM dapat membantu memandangkan saya telah banyak membantu mengharumkan nama negara,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.- BERNAMA