S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Tiga kemudahan kesihatan yang terjejas akibat banjir yang melanda Pulau Pinang telah beroperasi semula hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, ketiga-tiga kemudahan itu ialah Klinik Kesihatan Mak Mandin; Aras 1 Hospital Pulau Pinang dan Klinik 1 Malaysia Taman Seri Delima kerana terputus hubungan pada Ahad lalu telah beroperasi semula.

“Sebanyak dua fasiliti kesihatan yang dilaporkan masih terjejas akibat banjir iaitu Klinik Desa Lahar Yooi (operasi dipindahkan ke Klinik Kesihatan Sungai Dua) dan Klinik Pergigian Perai di Klinik Kesihatan Perai (operasi dipindahkan ke Klinik Kesihatan Seberang Jaya),” katanya dalam satu kenyataan.

Banjir yang disifatkan terburuk melanda Pulau Pinang itu telah mengorbankan tujuh nyawa yang mana punca kematian enam mangsa akibat mati lemas manakala seorang terkorban kerana ditimpa pokok.

Subramaniam berkata, sebanyak lima puluh pasukan yang terdiri daripada tiga puluh dua pasukan kesihatan dan lapan belas pasukan perubatan telah bertugas untuk menjalankan aktiviti semasa dan selepas banjir.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan telah menjalankan aktiviti pemeriksaan di pusat pemindahan bagi mengesan pembiakan nyamuk, kehadiran tikus dan lalat, keselamatan dan kualiti makanan, keselamatan mutu air minum dan menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan juga menjalankan aktiviti kebersihan alam sekeliling dan sanitasi di kawasan selepas banjir,” jelasnya.

Sementara itu, Subramaniam memberitahu, Ketua Pengarah Kesihatan Pulau Pinang telah mengarahkan semua jabatan kesihatan di negeri itu menjalankan tindakan kesiapsagaan dalam usaha persediaan jika gelombang banjir melanda negeri tersebut.

Katanya, jabatan-jabatan kesihatan terbabit juga diminta berhubung rapat dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil. – MalaysiaGazette