Nik Tree dan Malek Noor pada sidang media majlis pelancaran Carbon Token Classic di Cyberjaya, baru-baru ini.
CYBERJAYA –  Persatuan Teknologi Rangkaian Hijau dan Kontrak Karbon Malaysia memperkenalkan perkhidmatan terbaharu, Carbon Token Classic (CTC) yang bakal memberi manfaat kepada pemain teknologi hijau di negara ini.
Pengasas persatuan, Nik Tree berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 10 hingga 20 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan merebeut peluang ke atas CTC.
Beliau berkata, ini kerana CTC yang menggunakan teknologi Blockchain itu akan membolehkan syarikat tempatan menjalin kerjasama strategik daripada pelabur dari negara luar dalam industri yang sama dalam usaha mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Platform yang menggunakan teknologi blockchain itu akan menjadi sebuah ledger lengkap yang menampilkan pelbagai pemain dalam industri hijau dari seluruh dunia.
“Di situ ia akan menjadi medan pertemuan dan perbincangan bagi sesama pemain industri hijau yang sedang mencari dana untuk mengembangkan perniagaan atau mencari pelabur baharu,” katanya.
Nik Tree merupakan Pengasas Persatuan Teknologi Rangkaian Hijau dan Kontrak Karbon Malaysia.
 Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan pelancaran perkhidmatan baharu itu di sini baru-baru ini.
Turut hadir duta persatuan tersebut, selebriti Datuk Malek Noor.
Nik menjelaskan, platform berkenaan menggunakan kontrak pintar yang memiliki ciri-ciri keselamatan yang tinggi.
Tambah beliau, pelaburan besar diperlukan oleh PKS untuk berkembang maju seiring dengan perkembangan pesat industri hijau pada masa kini.
Namun, kekangan modal atau dana menjadikan mereka agak ketinggalan dan terlepas peluang untuk meneroka bidang baharu dalam industri berkenaan. – MalaysiaGazette