Nazir Razak

KUALA LUMPUR – Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak dikatakan sedang membantu menubuhkan dana ekuiti swasta serantau berjumlah AS$1 bilion, demikian menurut sumber yang rapat dengan perkara tersebut.

Menurut Bloomberg, Nazir akan mengekalkan jawatannya di dalam CIMB tetapi dalam masa yang sama akan bertanggungjawab sebagai salah seorang daripada lima rakan kongsi dana berkenaan.

Beliau dikatakan akan dibantu oleh Kenny Kim yang sebelum ini pernah berkhidmat dengan Nazir sebagai Ketua Pegawai Kewangan CIMB.

Manakala David Heng yang baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Kanan Temasek Holdings Pte akan membantu pelaburan langsung dana baharu itu.

Dana berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan CIMB dan akan berpangkalan di Singapura, kata sumber yang enggan dinamakan.

Ia mensasarkan pelaburan dalam industri kepenggunaan, teknologi, logistik dan perkhidmatan kewangan di Asia Tenggara.

Selain itu, bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Gita Irawan Wirjawan dan bekas Setiausaha Kewangan Filipina, Cesar Purisima juga sebahagian daripada rakan kongsi dana baharu itu.

Kelima-lima rakan kongsi itu merancang untuk mencari kira-kira AS$700 juta sehingga AS$1 bilion dana daripada pelabur.

Maklumat tersebut masih lagi berada di peringkat awal dan butiran terperinci mungkin boleh berubah, kata sumber.

Kesemua pihak enggan memberikan komen. – MalaysiaGazette