KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd. Aziz Kaprawi hari ini melancarkan dan merasmikan Simposium dan Pameran Fotografi anjuran Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) di Auditorium dan Galeri Seni MaTIC.
Dalam ucapannya perasmiannya, Aziz menghargai sumbangan dan jasa jurufoto media dalam menyampaikan laporan dan maklumat berkenaan perkembangan semasa dalam dan luar negara melalui medium fotografi.
Justeru, beliau mengingatkan agar jurufoto sentiasa memajukan diri dalam cabaran yang semakin meningkat muktahir ini, lebih-lebih lagi negara Malaysia yang bakal menjadi tumpuan antarabangsa apabila menjadi pusat pedagangan antarabangsa kelak.
“Simposium hari ini sangat disanjungi kerana ianya memberi kesan pada masa akan datang terutama dalam kita melahirkan jurufoto yg berkaliber. Hari ini Malaysia merupakan negara yang menempatkan diri di tempat tinggi di rantau Asia khususnya di Asia Tenggara.
“Ini sekali gus memberi peluang-peluang baru kepada jurufoto kerana KL sudah menjadi pusat antarabangsa. Bila dah jadi pusat begini, banyak syarikat media dunia akan jadikan KL pejabat pengkalan dan itu menjadi peluang kepada jurufoto ini,” katanya.
Sebagai menghargai jasa jurufoto media, Aziz turut mengumumkan pemberian diskaun kepada jurufoto di bawah MPPA untuk mendaftar dan mendapatkan lesen memandu termasuk lesen kereta dan motorsikal.
Sumbangan itu juga sebagai pengiktirafan kepada jurufoto media yang bertungkus-lumus dalam menyampaikan berita kepada rakyat Malaysia.
Simposium dan pameran fotografi yang julung kali dianjurkan ini turut mendapat sokongan dariapda Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Penglibatan agensi ini bagi mengupas persoalan dan isu-isu semasa melibatkan hak cipta dalam industri fotografi tempatan.
Menurut penyelaras simposian dan pameran ini, Noor Asrekuzairey Salim, simposium yang julung kali diadakan ini bakal dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Selain mengupas beberapa isu berkaitan industri fotografi, simposium ini juga menjadi medan untuk jurufoto media tempatan berkongsi ilmu, pendapat dan pengalaman masing-masing sepanjang penglibatan dalam bidang fotografi media.
“Program ini mengumpulkan jurufoto media tempatan dan beberapa agensi yang terlibat dengan beberapa isu dalam industri fotografi media tempatan. Tujuannya untuk berkongsi apa juga material termasuk idea, pengalaman, pendapat dan karya-karya yang turut dipamerkan di galeri MaTIC.
“Program ini juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk beberapa kementerian jadi, kita akan teruskan usaha ini ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya kepda pemberita.
Dalam program tersebut, turut dipamerkan, beberapa karya daripada jurufoto media tempatan yang turut mendapat pengiktirafan berbentuk anugerah termasuk daripada dalam dan luar negara.
Antara yang mendapat perhatian pengunjung, gambar yang dihasilkan oleh Mohd Naim Aziz yang juga merupakan jurufoto Utusan Malaysia yang pernah memenangi tempat pertama Asean Journalists (CAJ) pada tahun 2009 dan mendapat tempat ketiga Anugerah SUHAKAM pada tahun 2010.
Gambar tersebut memaparkan 100 orang pekerja asing warga Bangladesh yang ditempatkan dalam sebuah bilik oleh agensi pekerjaan tempatan.
Antara karya lain yang dipamerkan adalah sebahagian gambar daripada dokumentari foto oleh Nazir Sufari, yang menunjukkan perjuangan seorang bapa kepada anak perempuan autisme dalam menuntut pendidikan kepada anak-anak autisme Malaysia.-MalaysiaGazette
















