KULAI – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM4,000 terhadap sebuah restoran 24 jam atas kesalahan gagal mematuhi arahan penutupan premis tidak suci yang dikeluarkan terhadapnya, pada Mac lalu.
Majistret R Salini menjatuhi hukuman itu selepas Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengurus syarikat perniagaan restoran berkenaan mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didapati gagal mematuhi arahan penutupan premis dan masih menjalankan operasi di premis berkenaan dalam tempoh arahan penutupan.
Perbuatan premis di Indahpura di sini itu didakwa berlaku pada pukul 12.09 tengah hari, 28 Mac lalu.
Bagi perbuatan itu, OKS didakwa di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Mohd Aliff Tajuddin Zaidi dan OKS diwakili peguam G Gopal Sriganesh.
Difahamkan, OKS sudah menjelaskan sepenuhnya denda RM4,000 yang dikenakan mahkamah, hari ini.
Mengikut fakta kes, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat najis tikus dalam premis restoran berkenaan dan susulan penemuan itu, premis berkenaan telah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan serta dikenakan arahan penutupan selama 14 hari bermula 27 Mac lalu hingga 10 April lalu.
Bagaimanapun, pada 28 Mac lalu, premis itu didapati masih beroperasi walaupun arahan penutupan sedang berkuat kuasa.
Sementara itu, JKNJ dalam satu kenyataan memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperhebatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan terhadap premis makanan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa mematuhi kehendak Akta Makanan 1983 demi melindungi kesihatan awam.- MalaysiaGazette
















