Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan bacaan peringkat dasar Undang-Undang Perbekalan 2018 atau Bajet 2018 selepas undian berbelah bahagi yang dituntut oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

Timbalan Speakernya,  Datuk Seri Ismail Mohamad Said memutuskan undian belah bahagi selepas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selesai menggulung perbahasan di peringkat dasar.

Undian tersebut menunjukkan sebanyak 107 undi daripada ahli-ahli parlimen Barisan Nasional manakala sebanyak 59 undian daripada pihak pembangkang.

Seramai 11 ahli parlimen Pas pula mengambil sikap berkecuali dalam proses pengundian yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selepas proses itu, Bajet 2018 akan dibahaskan pula peringkat Jawatankuasa selama sembilan hari mulai esok sehingga 28 November.

Bajet 2018 dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan tema ‘Memakmur Ekonomi yang Inklusif, Mengimbangi Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50,’ pada 27 Oktober.-MalaysiaGazette