SHAH ALAM – UMNO Selangor menyifatkan Bajet 2018 Kerajaan Negeri Selangor yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat minggu lalu, sebagai tidak sah kerana berlawanan dan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Perhubungan Negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan negeri juga gagal memasukkan jumlah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dari Kerajaan Persekutuan dalam buku Anggaran Hasil Negeri Selangor 2018 yang dibaca oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Saya dimaklumkan dan saya ada terbaca dalam media, kerajaan negeri menyatakan berlaku ralat pada buku bajet 2018.
“Pada saya, itu bukan ralat. Tidak ada kesilapan ejaan dalam Bajet 2018, melainkan kesilapan besar mereka ialah tidak memasukkan beberapa perkasa asas dalam buku Anggaran Hasil Negeri Selangor 2018.
“Ini bermakna kerajaan Selangor mengakui mereka menyediakan bajet yang tidak lengkap kerana mereka tidak memasukkan bab isu sumbangan Marris daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah kira-kira RM500 juta bajet itu,” katanya di sini, hari ini.
Pada 7 November lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mempersoalkan kecuaian kerajaan Selangor berkaitan butiran yang dikeluarkan dalam buku Anggaran Hasil Negeri Selangor 2018.
ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dilaporkan berkata, kesalahan membabitkan Butir-Butir Anggaran Bagi Tahun 2018 sepatutnya tidak berlaku terutama di dalam dokumen penting berkaitan perbelanjaan kerajaan negeri.
Katanya, disebabkan kesalahan itu, ketelusan dan kesahihan bajet untuk tahun hadapan boleh dipersoalkan dan ralat yang dikatakan oleh kerajaan negeri itu adalah bukti prima facie adanya ketidakcermatan dalam mengendalikan butiran Belanjawan Selangor 2018.
Menurut Noh, ADUN dari PKR, Pas dan DAP seharusnya mendesak menteri besar agar menarik balik Bajet 2018 kerana ia tidak sah dari segi Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau ADUN-ADUN kerajaan negeri ada maruah dan memahami perlembagaan untuk mentadbir kerajaan Selangor, sepatutnya mendesak Mohamed Azmin supaya mengumumkan pembatalan pembetangan Bajet 2018 dan perlu dibuat bajet baharu.
“Tidak memadai dengan hanya mengatakan buku Anggaran Hasil Negeri Selangor 2018 ralat. Kalau ralat dari segi teknik, boleh diterima. Tapi kalau perkara asas tidak ditulis, bagi saya itu bukan ralat,” katanya. – MalaysiaGazette.