Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 kali ini tidak membahaskan isu pemilihan pucuk pimpinan parti itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pemilihan kepimpinan tertinggi parti  ditangguhkan pada tahun ini dengan memperkukuhkan parti untuk meraih sokongan lebih besar pada PRU-14.

“Pemilihan UMNO, jangan kita bahaskan untuk perhimpunan kali ini kerana tumpuan kita ialah pilihanraya.

“Tiada gunanya kita bincangkan kedudukan parti atau pegang jawatan tinggi dalam parti kalau parti kita tidak dapat mandat besar dalam pilihanraya.

“Jadi fokus perhimpunan kita kali ini adalah ke arah pilihanraya, bukan pemilihan parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra  hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 NOVEMBER 2017

Hishammuddin juga menyifatkan perhimpunan agung parti itu merupakan kali terakhir bagi tahun ini sebelum Barisan Nasional (BN) dan UMNO menghadapi PRU-14 yang bakal diumumkan bila-bila masa dari sekarang.

“Kita anggap perjumpaan kita hari ini begitu penting sekali dalam persiapan kita untuk Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang merupakan perhimpunan terakhir sebelum pilihanraya,” katanya.

Beliau berkata lagi, perhimpunan tahunan UMNO itu juga menampilkan kelainan dengan memasukkan elemen feel good factor dan suntikan semangat terakhir kepada jentera dan ahli-ahli di peringkat akar umbi dalam memenangi PRU-14.

“Tan Sri Annuar Musa (Ketua Penerangan UMNO) dan rakan-rakan lain membantu untuk memastikan perhimpunan kali ini bukan saja menampakkan parti ini inklusif bahkan wujudkan winning mentality sesama kita dalam perhimpunan kali ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette