Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil membantu mengagihkan makanan pada Jamuan Makan Tengahari Untuk 3500 Orang di Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Langkah membuka restoran memberi makan percuma oleh Presiden Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos disifatkan sebagai satu idea yang kreatif dalam membantu ringkankan beban rakyat, kata Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua Wanita UMNO itu yang turun sendiri untuk meninjau restoran yang terletak di Jalan Pahang berkata, pada mulanya mendapat tahu mengenai restoran tersebut menerusi media sosial dan akhbar sehingga mahu melihat dengan mata sendiri perjalanan operasi restoran tersebut.

“Saya datang ramai bersama dengan Wanita UMNO, ada yang mereka nak bantu dan saya nak lihat sendiri sebab saya baca dalam akhbar dan media sosial tentang restoran yang dibuat oleh Datuk Seri Jamal

“Nampaknya ia memang viral, rakyat pun suka, orang datang ramai macam sudah jadi satu fenomena sebab makan percuma,” kata Shahrizat semasa ditemui hari ini.

Shahrizat kagum dengan kehadiran ramai yang menikmati juadah disediakan disitu, malah mereka yang hadir terdiri daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira bangsa dan agama mahu pun fahaman politik.

“Saya pun terkejut, tempat ini amat selesa sekali dan saya lihat yang datang pelbagai kaum dan ramai daripada mereka yang memerlukan bantuan dan ada juga pekerja pejabat pun hadir.

“Orang ramai di sini bercampur, terdiri daripada pelbagai latar belakang… masakan pula memang sedap,” ujarnya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Jamal atas inisiatif memperkenalkan konsep restoran sedemikian yang dilihat kreatif dan dapat memberikan impak yang besar dalam membantu meringankan beban rakyat di bandar.

“Saya nak ucap tahniah dan terima kasih kepada Datuk Seri Jamal kerana beliau memang kreatif, konsep ini memang meletup

“Ini melangkaui batasan politik, ia tidak menggunakan politik tapi kerja amal jariah yang dapat pahala,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, selain berjaya menarik orang ramai untuk makan, ia juga dapat mengundang ramai sukarelawan yang hadir untuk membantu dalam menyediakan makanan sepanjang lima hari ia beroperasi.

“Ini melangkaui batasan politik, ia tidak menggunakan politik tapi kerja amal jariah yang dapat pahala.

“Saya rasa tersentuh hati apabila sukarelawan datang turun untuk membantu,” katanya.

Jamal merasmikan restoran yang memberikan makanan percuma pertama dalam negara pada 16 Oktober lalu yang terletak di Jalan Pahang bersebelahan McDonalds itu, dibuka mulai 11 pagi sehingga 3 petang.

Restoran itu mempunyai 15 pekerja sukarela di restoran itu yang mengamalkan konsep “makan sampai kenyang tanpa pembaziran dan cuci pinggan sendiri”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast