KUALA LUMPUR – Seramai 440 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di beberapa lokasi di sekitar ibu kota petang tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali berkata, kesemua mereka yang ditahan merupakan warganegara Bangladesh, Vietnam, Indonesia, Pakistan, India dan Oman.

“Jumlah pecahan PATI yang ditahan adalah seramai 309 orang lelaki, 47 perempuan manakala empat lagi kanak-kanak.

“Kesemua yang ditahan merupakan orang dewasa dan kanak-kanak yang ditahan ada yang berusia baru empat hari,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi berkenaan.

Menurut Mustafar, dalam operasi itu seramai 915 orang telah diperiksa di 20 buah premis dan di kawasan sekitar.

Katanya, operasi bertumpu di kawasan sekitar Jalan Alor dan Jalan Changkat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Jelasnya, seramai 267 anggota penguatkuasa terlibat dalam operasi tersebut yang bermula dari pukul 5 hingga 7 malam.

Tambahnya, kesemua PATI yang ditahan ditempatkan di depot tahanan Imigresen di Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan. – MalaysiaGazette