Home Nasional Sedih ditinggalkan Nuan Nuan

Sedih ditinggalkan Nuan Nuan

Anak panda, Nuan Nuan ditempatkan didalam sangkar khas dan dikuarantinkan bagi pemeriksaan perubatan di Animal Hotel Mas Cargo, KLIA sementara menunggu penerbangan pulang ke China. foto SAFWAN MANSOR, 14 NOVEMVER 2017

SEPANG – Selama 26 bulan membesarkan Nuan Nuan, sudah pasti penghantaran pulang anak panda gergasi itu meninggalkan kesan kepada penjaga-penjaganya.

“Kepulangan Nuan Nuan sedih buat kami. Ia lahir di Malaysia dan akan menghabiskan seluruh hidupnya di China nanti,” kata Pengarah Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Dr Mat Naim Ramli.

Nuan Nuan, anak panda gergasi betina itu akan dihantar pulang ke China oleh MAS Kargo pada penerbangan yang dijadualkan 5.30 petang ini.

Di sebalik kesedihan itu, Dr. Naim berkata, beliau gembira kerana kehadiran Nuan Nuan telah memberi kegembiraan kepada warga Zoo Negara.

Katanya, Zoo Negara tidak menyangka Nuan Nuan dilahirkan di GPCC selepas 15 bulan ketibaan ibu bapanya, Xing Xing dan Liang Liang.

“Kami gembira, seronok kerana Malaysia menjadi salah satu negara yang menyumbang kepada pembiakan anak panda gergasi. Tiada tekanan, kita ada berpotensi untuk pembiakan seterusnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Pengarah Zoologi, Veterinar dan GPCC Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli bercakap pada sidang media mengenai penerbangan pulang anak panda, Nuan Nuan di Animal Hotel Mas Cargo, KLIA sementara menunggu penerbangan pulang ke China. foto SAFWAN MANSOR, 14 NOVEMVER 2017.

Dr. Naim yang menyifatkan Nuan Nuan sebagai haiwan yang baik dan tidak menimbulkan banyak masalah kepada kakitangan GPCC sepanjang berada di Malaysia.

Nuan Nuan yang suka memanjat itu pernah panjat siling paling tinggi hampir 20 jam dan tidak mahu turun.

Sifat peliknya itu menyebabkan kakitangan terpaksa memberi makan di atas siling.

“Apabila dipantau, baru kami tahu ada kucing di atas siling yang menganggunya. Selepas kami tangkap kucing itu barulah Nuan Nuan kembali normal,” tambah beliau.

Terdahulu, Dr Naim memberitahu, Nuan Nuan yang tidur sepanjang perjalanan dari Zoo Negara ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur dalam keadaan tertekan akibat perjalanan yang panjang.

Bagaimanapun, selepas 45 minit baru Nuan Nuan memberi tindak balas terhadap panggilan dan sentuhan serta boleh makan dan minum.

Nuan Nuan dijangka melalui penerbangan 4 jam 30 minit ke Chengdu, China dan seterusnya empat jam lagi ke Pangkalan Panda Dujiangyan.

Anak panda itu dijadual tiba di pangkalan panda di Sichuan pada pukul 2 pagi.

Sehubungan itu, katanya, sepanjang penerbangan nanti keadaan Nuan Nuan akan terus dipantau melalui panggilan dan sentuhan serta makan dan minumnya.

Nuan Nuan akan dikuarantin selama sebulan sebaik tiba di pangkalan panda dan ia akan dipamerkan kepada rakyat China pada 15 Disember ini.

“Pada 15 Disember ini, barulah Nuan Nuan akan cecah tanah dan makan makanan di negara China,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast