Hasan Arifin

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu meneruskan pemberian geran kepada Agrobank bagi membantu petani dan pengusaha pertanian untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga mencadangkan bilangan cawangan Agrobank dan AgroAgent juga perlu ditambah terutama di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan lebih ramai golongan petani yang tinggal di kawasan di luar bandar untuk mendapatkan perkhidmatan bank.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Ariffin berkata, Agrobank perlu terus memberi tumpuan membantu golongan petani bagi membangunkan sektor pertanian negara walaupun Agrobank tidak lagi menerima geran dari kerajaan tanpa mengabaikan kepentingan pendeposit.

Syor itu dibuat selepas PAC mengadakan prosiding pada 26 Oktober lalu berhubung isu pengurusan Agrobank di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang dikemukakan dalam laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 siri 2.

Dalam kenyataan itu, Hasan berkata, mesyuarat prosiding berkenaan, PAC membangkitkan isu-isu berhubung pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI), prestasi dana pembiayaan deposit, pendapatan fi tidak mencapai sasaran dan hapus kira.

Berdasarkan mesyuarat prosiding berkenaan, secara keseluruhannya PAC berpuas hati dengan pencapaian Agrobank dalam menyediakan perkhidmatan kewangan lengkap mengikut kehendak pasaran dan pelanggan dengan kewangan yang mampan untuk kumpulan sasar tertentu, usahawan agro, mikro, kecil dan sederhana serta individu persendirian dikenal pasti selaras dengan dasar pembangunan negara.

Selain itu, pendekatan Agrobank memperkenalkan AgroAgent bagi memperluaskan perkhidmatan perbankan ke kawasan luar bandar perlu diberi pujian.

Namun begitu, bilangan AgroAgent masih kecil di Sabah dan Sarawak jika dibandingkan dengan Semenanjung.

Tambahnya, PAC Parlimen ambil maklum bahawa Agrobank tidak lagi menerima geran daripada kerajaan sejak tahun 2012.

Sehubungan itu, PAC Parlimen berpendapat sumber kewangan yang diterima oleh Agrobank dari kerajaan sebanyak RM1.152 bilion dalam bentuk pinjaman adalah tidak mencukupi bagi menampung keperluan pinjaman golongan petani dan masyarakat luar bandar. – MalaysiaGazette