KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) siap sedia untuk menggerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan yang akan bertugas 24 jam sekiranya berlaku banjir pada hujung tahun ini.
Pasukan ini akan membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang dan sebagainya dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan, kata Pengurus Besar Kanan Bahagian Pembahagian, Wan Nazmy Wan Mahmood.
TNB juga akan membuka bilik gerakan di negeri-negeri yang terlibat bagi memantau keadaan
dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.
“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 untuk tindakan segera TNB.
“Namun, jika terdapat pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula elektrik hanya akan dibuat selepas keadaan selamat, jelasnya.
Wan Nazmy turut menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati semasa menggunakan peralatan
elektrik sekiranya premis mereka dinaiki air.
“Jangan sesekali menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah atau lembap,” tambahnya.
Setelah banjir surut, pengguna dinasihatkan supaya mendapat khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di dalam premis yang dinaiki air. – MalaysiaGazette