Azman Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ahli jawatankuasa Pas Pusat, Azman Ibrahim menyifatkan tidak ada gunanya pembangkang membantah bajet yang dibentang oleh Kerajaan Pusat tetapi pada masa sama mengambil juga peruntukan yang diberikan.

Azman mempertahankan langkah Ahli Parlimen Pas yang berkecuali semasa pengundian Isnin lalu kerana bajet tersebut ada baik dan buruknya.

“Nak tolak, tak dinafikan dalam bajet tersebut ada yang baik dan bermanfaat kepada rakyat. Nak sokong, ada juga dalam bajet itu yang tak baik untuk rakyat dan negara.

“Tapi nampak sedikit tak cerdik bila kita undi tolak bajet sedangkan pelbagai peruntukan yang diumumkan dalam bajet kita ambil juga,” kata beliau dipetik dalam Harakah Daily hari ini.

Tambah Azman lagi, jumlah Ahli Parlimen pembangkang yang minoriti tidak mampu menghalang bajet tersebut melainkan “suatu keajaiban pelik berlaku”.

“Kita tahu BN memiliki majoriti dalam Parlimen. Semua ahli parlimen BN wajib akan undi sokong untuk Bajet 2018 diluluskan,” ujarnya.

Menurutnya, ini kerana semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sudah tentu akan mengundi untuk menyokong bajet itu, walaupun 100 daripada mereka “terkena cirit-birit dan tidak dapat hadir masa pengundian dibuat”.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 untuk meluluskan peruntukan RM280.25 bilion bagi bajet tahun depan diluluskan pada Isnin, dengan sokongan 107 wakil rakyat BN berbanding 59 ahli Parlimen yang membantah.

Daripada 12 ahli Parlimen Pas yang berada dalam Dewan Rakyat, semua kecuali Datuk Mahfuz Omar tidak mengundi. Ia mengundang ucapan terima kasih daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast