KUALA LUMPUR, 16 Nov -- Naib Presiden MIC Senator Datuk Mohan Thangarasu (lima, kiri) dan Timbalan Ketua UMNO Sungai Petani Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff (enam, kanan) bergambar bersama Tun S Sammy Vellu (tengah) serta tetamu kenamaan selepas upacara mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Turut sama Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk S Vigneswaran (tiga, kanan) --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC Datuk T. Mohan hari ini mengangkat sumpah sebagai senator buat kali pertama bagi tempoh tiga tahun di Dewan Negara, hari ini.

Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff pula mengangkat sumpah untuk penggal kedua. Kedua-duanya mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Mohan ketika ditemui pemberita selepas upacara itu berterima kasih kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam atas pelantikan tersebut.

“Menerusi pelantikan ini, saya percaya saya akan buat lebih lagi kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Shahanim berkata beliau akan terus memperjuangkan nasib golongan wanita dan ibu tunggal.

Mohan pernah memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan bagi tempoh 2009 hingga 2013 manakala Shahanim merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Kedah.- BERNAMA